Edge Azwan

Wednesday, January 2, 2013

Hadis-hadis Palsu dan Dhaif Menurut Ulama Hadis

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, Islam mengajar umatnya untuk menambahkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat iaitu pertama ilmu al-Quran (tajwid dan tafsir) dan kedua ilmu hadis. 

Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, 

 تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ 

Maksudnya : "Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya". (Hadits Sahih Lighairihi, H.R. Malik; al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nashr, Ibnu Hazm. Disahihkan oleh Syaikh Salim al-Hilali di dalam At Ta’zhim wal Minnah fil Intisharis Sunnah, hlm. 12-13). 

Dalam Islam sumber rujukkan kedua setelah al-Quran yang perlu difahami oleh umat Islam adalah hadis-hadis Nabi SAW. Kedudukan hadis telah dibahagikan oleh ulama hadis kepada enam tahap / kedudukannya. Hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut : 

1. Hadis Mutawatir 
2. Hadis Sahih 
 3. Hadis Hasan Sahih 
4. Hadis Dhaif 
5. Hadis Sangat Dhaif 
 6. Hadis Palsu. (bukan hadis) . 

Terdapat 10 hadis-hadis popular yang sering digunakan oleh umat Islam hari ini. Untuk mengetahui kedudukan hadis-hadis tersebut ulama hadis telah membuat kajian mendalam mengenai kedudukan hadis tersebut dan meletakkan kedudukannya samaada palsu atau dhaif. 

 Huraiannya adalah seperti berikut : 

Pertama: "Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China." 

Kedudukan Hadis: Ini adalah hadis palsu. 

1. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at (Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.) 
2. Buku bertajuk : "Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin" 
3. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H) (Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.) 
4. Al-Iraqi (Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.) 
5. Muhammad Nasiruddin al Albani (Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.) 

Ulasan: 

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat." (Surah al Mujadalah ayat 11.) 

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis: Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga (Hadis riwayat Muslim nombor 2699) 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim " (Hadis riwayat Ibnu Majah – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah. Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.) 

Kedua:"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." 

Kedudukan Hadis: Hadis ini adalah hadis palsu. 

1. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW. (Taisir al Fiqh Li al Muslim al Mu’ashir – Prof.Yusuf al Qaradawi – m.s. 215.) 
2. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah Abu Ghuddah. (Qiimatu al Zaman ‘Inda al Ulama’ – Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 30 – cetakan kelapan,1998 – Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah, Halab.) 

Ketiga: "Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki." 

Kedudukan Hadis: Hadis ini adalah hadis palsu. 

1. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah. (Al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – tahqiq Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 230.) 
2. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami (Majma’ al Zawaaid – al Haithami – hadis no. 6091.) 
3. Muhammad Nasiruddin al Albani (Dhaif al Jami’ as Shaghir – hadis no. 1484 dan 3531.)

Keempat: "Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah ثعلبة yang tidak membayar zakat." 

Kedudukan Hadis: Hadis ini adalah hadis palsu. 

1. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii (As Sahih al Musnad Min Asbab an Nuzul – Muqbil Bin Hadi al Wadii – muka surat 11-12 – cetakan kedua 1994 – Dar Ibn Hazm.) 

Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. 

Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni – takhrij Ihya’ Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani. 

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima. 

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang tidak benar. 

2. Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah (Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah – Prof.Dr.Yusof al Qaradhawi – muka surat 67 – al Ma’had al ‘Alami Li al Fikr al Islamiyy, Amerika Syarikat.) 

3. Muhammad Nasiruddin al Albani (Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 1607.. 

Ulasan: 

Boleh dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW, dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar. 

Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam, Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu membayar zakat.

Kelima: "Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri." 

Kedudukan Hadis: Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah (Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah – al Albani – hadis no. 39 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 5861.) 

2. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami (Majma’ al Zawaaid – al Haithami – hadis no. 8254.) 

Keenam: Kebersihan itu separuh daripada iman. 

Kedudukan Hadis: Hadis Sangat Dhaif 

1. Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi (Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 278.) 

2. Dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani (Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 6163 dan 2414.) , dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”. 

Ulasan: 

Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam. 

Ketujuh: Perselisihan dalam umatku adalah rahmat. 

Kedudukan Hadis: Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. 

1. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah (Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 57.) 

2. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini (Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 74.) Ulasan: Hadis ini telah menyatakan bahawa menjadi satu rahmat bagi kita jika kita berselisih pendapat. Ini adalah pandangan yang perlu diteliti dengan mendalam kerana kita amat yakin bahawa perselisihan selalunya membawa kepada perpecahan. Ibn Hazm dalam bukunya al Ihkam Fi Usul al Ahkamtelah menyatakan bahawa jika sekiranya perselisihan itu rahmat, maka sudah pasti permuafakatan pula akan menjadi satu perkara yang tidak dirahmati. Ini adalah pendapat yang tidak benar sama sekali. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – huraian hadis no. 57.) 

Kelapan: "Sabar itu separuh daripada iman." 

Kedudukan Hadis: Bukan hadis tetapi kata-kata sahabat. 

1. Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW (Jami’ al Ulum wa al Hikam – Ibnu Rajab al Hanbali – jilid 2 – muka surat 10.) 

2. Menurutal Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat) (Nota kaki no. 1 dalam buku al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – muka surat 218.) 

Ulasan: 

Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka boleh diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai hadis Nabi SAW. 

Kesembilan: "Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu." 

Kedudukan Hadis: Hadis Dhaif. 

1. Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali (Jami’ al Ulum Wa al Hikam – Ibnu Rejab al Hanbali – jilid 1 – muka surat 489.) 

2. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia. (Diambil daripada huraian al Albani dalam Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 2460.) 

Ulasan: 

Hadis ini boleh menyebabkan sebahagian umat Islam tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Hadis ini sering digunakan oleh mereka yang bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di dalam hadis-hadis sahih tentang kepentingan mujahadah menentang kehendak nafsu ini seperti hadis Nabi SAW: 

Maksudnya: "Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (yang buruk) ."(Hadis sahih riwayat al Tirmizi (hadis no. 1621) dan disahihkan oleh al Tirmizi serta disokong oleh al Albani.) 

Firman Allah SWT maksudnya : "Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan diri mereka sendiri dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan peperangan) di sisi Allah dan itulah orang-orang yang berjaya." (Surat at Taubah – ayat 20.) 

Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun begitu, hadis yang disebutkan tadi adalah dhaif . 

Kesepuluh: "Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput." 

Kedudukan Hadis: Hadis Palsu. 

1. Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: “Aku tidak menemui asalnya” (Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 410.) 

2. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah 

3. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah (Al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – muka surat 92 (nota kaki no.2). 

Ulasan: 

Hadis ini secara zahirnya seolah-olah melarang kita daripada berbual atau berbincang di masjid. Sedangkan di dalam hadis-hadis yang sahih, kita dapati Rasulullah SAW seringkali berbincang dan berbual dengan para sahabat di dalam masjid. Bahkan lebih dari itu, sekumpulan orang Islam dari Habsyah telah bermain di dalam Masjid Nabawi dengan permainan pisau. Permainan tersebut bertujuan mengisi masa lapang dan juga melatih kemahiran bersenjata. Maka Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah bersama-sama melihat kepakaran orang-orang Habsyah bermain senjata dan tidak melarangnya. 

Masjid merupakan tempat untuk kita berbincang, menuntut ilmu, merancang perkara-perkara kebaikan dan juga bertegur sapa serta beramah mesra. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan ia berlainan dengan apa yang disebutkan oleh hadis yang tidak sahih ini. Seharusnya masjid berperanan seperti zaman Rasulullah SAW bagi memastikan umat Islam terus maju dan berjaya seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. 

(Hadis Sahih riwayat al Bukhari (hadis no. 3530) dan Muslim (hadis no. 2105).) 

Sahabat yang dimuliakan, Terdapat terlalu banyak hadis-hadis sahih dan hadis hasan sahih yang boleh kita gunakan sebagai sumber hukum, menjadikannya sebagai amalan, hujah dan menggalakkan dalam beramal. Oleh itu gunakanlah sepenuhnya tanpa ragu-ragu. 

Mengenai hadis dhaif pula ianya tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk menetapkan satu hukum , ulama mengatakan ianya boleh digunakan untuk menceritakan fadilat amal sahaja. Tetapi hadis palsu pula perlulah ditinggalkan dan janganlah digunakan langsung kerana ianya tidak ada asas daripada Nabi SAW dan disandarkan kepada baginda. Bahaya jika kita sandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak mengucapkannya. 

Semoga kita dapat terus beramal dan berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah dan hadis Nabi SAW dalam kehidupan kita semua.

just my 2cents at 11:39 AM |

0 Comments:

Post a Comment

<< Home