Wednesday, November 28, 2007
Make peace not war
Read an article from newspaper yesterday, worth sharing..
Perhimpunan haram mesti disekat
PERBUATAN menganjurkan perhimpunan haram oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) kelmarin adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan bahaya. Walaupun mahkamah mengeluarkan perintah melarang perhimpunan berkenaan, amat dikesali kerana pihak Hindraf berdegil dengan meneruskan perhimpunan berkenaan yang akhirnya bertukar menjadi ganas menyebabkan kecederaan di kalangan anggota pasukan keselamatan dan merosakkan harta benda awam.
Walaupun rancangan awal Hindraf adalah bagi menyerahkan memorandum secara aman kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, akibat keganasan itu media antarabangsa seperti CNN menguar-uarkan bahawa demonstrasi Hindraf adalah manifestasi daripada ketidakpuasan hati masyarakat India Malaysia terhadap kerajaan yang dituduh meminggirkan mereka secara sistematik dari segi sosioekonomi.
Sama ada penganjur bermatlamat untuk membangkitkan isu agama dan perkauman atau tidak sudah terlambat kerana dengan laporan CNN yang disiarkan hampir setiap jam, masyarakat antarabangsa akan menanggapi apa yang berlaku sebagai isu agama dan perkauman.
Kejadian ini hanya mendatangkan kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing, menggalakkan pelaburan tempatan serta menggalakkan kemasukan pelancong dan pelajar asing.
Kalau yang dituntut Hindraf adalah keadilan sosial, maka yang ironisnya melalui perbuatan mereka matlamat itu kemungkinan besar akan terencat dan gagal.
Bagaimana keadilan sosial ingin direalisasikan jika kekacauan sosial menyebabkan pertumbuhan ekonomi terencat dan aliran pelaburan perlahan atau terhenti sama sekali.
Bagaimana keadilan sosial ingin dilahirkan jika akibat pertumbuhan perlahan dan ketiadaan peluang pekerjaan, kemiskinan dan kefakiran berleluasa.
Perhimpunan haram Hindraf sebenarnya amat melukakan perasaan masyarakat pribumi Melayu dan Bumiputera negara ini. Jika ada kaum yang sepatutnya mempunyai tahap tidak berpuas hati yang tinggi terhadap bekas penjajah negara ini, maka perasaan itu sepatutnya dimiliki masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Jika masyarakat Melayu dan Bumiputera ikut bersikap emosional malah tidak rasional, kita juga boleh menyaman Kerajaan Portugal kerana bukan saja mereka menceroboh dan menjatuhkan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-16 tetapi juga menjajah negara ini selama 130 tahun (1511-1641).
Kita juga boleh menyaman kerajaan Belanda, Inggeris, Jepun serta keluarga Brooke kerana negara dan keluarga ini juga pernah menjajah keseluruhan atau sebahagian daripada bumi Malaysia.
Negara berkenaan bukan saja perlu disaman kerana menjajah negara secara kolektif selama 446 tahun, tetapi juga kerana merompak hasil mahsyul negara, membawa agama dan budaya asing, melanggar hak asasi manusia peribumi, merencatkan proses pembangunan negara dan dosa yang paling besar mengubah karakter bumi Malaysia daripada bersifat satu kaum kepada pelbagai kaum.
Itu jika masyarakat Melayu bersifat emosional namun ia tidak berlaku kerana masyarakat Melayu bersifat sederhana dan berjiwa besar. Kita menuntut agar pemimpin Hindraf yang berbuat onar dan parti MIC selaku komponen Barisan Nasional yang mewakili kaum India di dalam kerajaan harus bertanggungjawab meredakan suasana dan menjernihkan kembali keadaan.
Jika tidak kita menyeru kepada kerajaan agar tidak teragak-agak mengambil tindakan sekeras-kerasnya yang dibenarkan oleh undang-undang negara termasuk Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA).
IRMOHIZAM IBRAHIM,
Ahli Majlis Tertinggi,
Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS).
just my 2cents at 5:43 PM |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home